Dua anggota bomba sesak nafas padam kebakaran maahad tahfiz

Sinar Harian
Julai 10, 2023 19:07 MYT
Kedua-dua anggota tersebut telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil. - Gambar/ Sinar Harian
ALOR GAJAH: Dua anggota bomba terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas ketika operasi memadam kebakaran madrasah tahfiz di Jalan Dato Dol Said di Taboh Naning, di sini pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd Zamri Omar berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 12.44 tengah hari itu, kedua-dua anggota tersebut telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil selain tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurutnya, seramai 18 anggota dan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian dan setiba di lokasi, api marak manakala 45 peratus bangunan madrasah tahfiz yang menempatkan pelajar lelaki itu telah terbakar.
"Ketika kejadian terdapat 10 pelajar berusia sembilan hingga 20 tahun sedang berada dalam bangunan yang menempatkan kelas dan tempat penginapan, bagaimanapun kesemua mereka berjaya keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ujar Mohd Zamri, maklumat awal pelajar, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian atas depan bangunan berstruktur kayu sebelum merebak ke bahagian tengah.
"Tekanan air ketika operasi tiada masalah cuma ada anggota mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
"Struktur bangunan kayu dan cepat terbakar. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. - Sinar Harian
#anggota bomba #sesak nafas #padam kebakaran #Maahad Tahfiz
;