Dua anggota APM maut, seorang parah kemalangan di LPT
Bernama
Februari 24, 2022 23:02 MYT
Februari 24, 2022 23:02 MYT
KUANTAN: Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) maut, manakala seorang lagi cedera, selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka dipercayai merempuh belakang treler di kilometer 142.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 di Maran, hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata dalam kemalangan yang berlaku pada 2.55 petang itu, pemandu kereta Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali, 21, dan Siti Fairuz Adnan, 28, yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian.
Sementara itu, Nurulain Zulfardliyana Mat Daud, 34, yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah di muka dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan.
Muhammad Nur Izzudin dan Nurulain Zulfardliyana beralamat di Pekan, manakala Siti Fairuz berasal dari Mentakab, Temerloh. Kesemua mereka berkhidmat di Pekan.
"Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong perlahan, menyebabkan bahagian hadapan kereta itu remuk teruk.
"Mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pekan ke Temerloh untuk menghadiri majlis hari jadi rakan mereka," kata Norzamri semasa dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu treler Zamrie Idris, 54, tidak mengalami kecederaan.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA