Dua anak Sarawak dinobat pelajar terbaik UKM

Nuzuluddin Abdul Razak
April 4, 2021 18:31 MYT
Ayuna dan Claudia masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan Anugerah Tun Abdul Razak pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Dua mahasiswa kelahiran Sibu, Sarawak, Ayuna Yussoff dan Claudya Luncha Julin masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan Anugerah Tun Abdul Razak pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48 pada Sabtu.
Ayuna, 24, berasal dari Kampung Datuk Baru, turut diiktiraf sebagai pelajar cemerlang dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (UKM) Kelas Pertama.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Ayuna berkata anugerah tersebut ibarat impian jadi kenyataan dan hadiah paling berharga buat kakaknya.
“Sebelum ini, kakak saya sangat berharap saya menerima Anugerah DiRaja ini sejak saya di Asasi Undang-Undang dan kejayaan ini juga berkat doa ibu bapa, keluarga, pensyarah dan sahabat.
“Betulkan niat setiap hari, sentiasa serah diri pada Allah S.W.T dan menolong ibu bapa, abang dan kakak, itulah kunci kepada segalanya. Seterusnya kalau ibu bapa memohon pertolongan, terus bantu selagi boleh,” katanya.
Sementara itu, alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby, Claudya Luncha, 25, yang turut menerima Pingat Emas Fakulti Pendidikan Universiti merupakan siswazah lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan kepujian dalam Pendidikan Khas.
Menerusi laman Facebook UKM, Claudya yang mengikut jejak ayahnya dalam bidang pendidikan merupakan salah seorang penari di Pusat Kebudayaan UKM.
Malah dia turut memegang jawatan penting dalam Persatuan Anak Sarawak dan merupakan Felo Kolej Pendeta Zaaba UKM.
Kini, Claudia sedang menyambung pengajiannya dalam bidang Sarjana Bahasa Melayu.
#Pelajar Terbaik UKM #Majlis Konvokesyen UKM #Mahasiswa Sarawak #anak Sarawak cemerlang #Ayuna Yussoff #Claudya Luncha Julin
;