Dua anak Mahathir sudah isytihar harta kepada SPRM - Azam Baki

Sinar Harian
September 18, 2024 13:48 MYT
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media Ops Setting di ibu pejabat SPRM hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima pengisytiharan harta daripada dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dua anak Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani telah melakukan pengisytiharan harta mengikut masa yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan siasatan dan pelarasan berhubung pengisytiharan itu dengan pihak peguam.
"Mereka telah membuat pengisytiharan harta mengikut masa yang telah ditetapkan.
"Pegawai SPRM sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak peguam berhubung pengisytiharan harta yang dibuat," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Sementara itu ditanya mengenai usaha mengesan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azam menyatakan usaha itu masih buntu.
Kata beliau, ahli perniagaan itu masih gagal dikesan untuk dibawa balik ke negara ini. -- Sinar Harian
#SPRM #Azam Baki #pengisytiharan harta #Tun Mahathir #Mirzan Mahathir #Mokhzani Mahathir #Muhyiddin Yassin
;