Dua anak Adidas Om alami sesak nafas sejak empat hari lalu
Bernama
Jun 9, 2019 15:36 MYT
Jun 9, 2019 15:36 MYT
Seorang bapa tunggal Orang Asli Kampung Kuala Koh Gua Musang menceritakan bagaimana dua anak perempuannya yang dijangkiti penyakit misteri mengalami sejak nafas dan sukar untuk tidur selama empat hari sebelum digegaskan ke hospital semalam.
"Saya risau memikirkan nasib kedua-dua anak perempuan saya yang mengalami sesak nafas," luah bapa tunggal, Adidas Om, 32, ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Krai (HKK) di sini, hari ini.
Adidas mendakwa kedua-dua anak perempuannya, Hoi, 6, dan Boi, 5, mengalami sesak nafas sejak empat hari lepas dan tidak dapat tidur pada waktu malam.
Berikutan itu, Adidas membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan sebelum kakitangan agensi tersebut membawa Hoi ke Hospital Gua Musang dan Boi ke Hospital Kuala Krai di sini semalam.
Adidas, yang berasal dari Kampung Orang Asli Bukit Gam, Jerantut, Pahang dan menetap di Kuala Koh sejak 10 tahun lepas berkata beliau tidak mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa anaknya.
"Selain anak saya, ada juga jiran-jiran yang mengidap penyakit sama malah ada yang telah meninggal dunia.
"Saya takut melihat keadaan anak-anak dan jiran-jiran yang menghidap penyakit itu dan berharap keadaan kembali pulih seperti sediakala," katanya yang kematian isteri pada 2014.
Beliau mengesyaki kejadian tersebut berpunca daripada aktiviti perlombongan yang di kawasan perkampungan tersebut.
Adidas turut berharap agar pihak berkaitan dapat menyiasat kejadian sebenar yang berlaku di kawasan perkampungan mereka ketika ini.
Pihak polis mengesahkan hanya tiga kematian disebabkan jangkitan paru-paru direkodkan setakat ini.
-- BERNAMA