Dua along terbabit kes simbah cat merah ditahan
Bernama
Januari 20, 2024 20:30 MYT
Januari 20, 2024 20:30 MYT
KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki tempatan disyaki along bagi membantu siasatan kejadian simbahan cat merah di sebuah rumah, Khamis lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata masing-masing yang berusia 25 dan 26 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang individu menyatakan kediamannya disimbah cat merah pada 14 Jan lepas.
Beliau berkata berdasarkan keterangan individu terbabit, dia pernah membuat pinjaman wang sebanyak RM300 menerusi satu aplikasi pada 2021 dan telah membuat bayaran semula berjumlah RM1,000, namun along terbabit memintanya membayar RM10,000.
"Mangsa tidak mampu membuat bayaran dan telah memadam aplikasi itu. Hasil siasatan di kediaman mangsa, polis berjaya memperoleh petunjuk dan menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Bonggor, di sini.
"Polis kemudian bertindak menyerbu sebuah kedai makan di Padang Garong dan menahan lelaki kedua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki berkata polis merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu termasuk satu telefon bimbit jenis OPPO A17, sebuah motosikal Yamaha Ego S, sepasang kasut warna putih dengan kesan tompokon merah disyaki cat merah serta satu botol lut sinar bersaiz 1.25 liter mengandungi cecair merah disyaki cat merah.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu direman hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Orang ramai, katanya diminta supaya tidak membuat pinjaman yang diiklankan secara dalam talian dan laman web mencurigakan serta membuat semakan bagi memastikan saluran yang betul untuk membuat pinjaman.
"Polis Kelantan kini dalam gerak kerja menggempur sindiket along di seluruh negeri secara habis-habisan dan tidak akan berkompromi terhadap kumpulan pinjaman wang tidak berlesen yang menggunakan kekerasan.
"Kami juga akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi yang berkaitan bagi memastikan kumpulan ini tidak wujud lagi di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA