Dua aktivis #KitaLawan dan Ketua Pemuda DAP direman polis
Astro Awani
Mac 15, 2015 16:33 MYT
Mac 15, 2015 16:33 MYT
Pihak polis telah memohon reman selama empat hari bagi Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong, dan dua lagi aktivis perhimpunan #KitaLawan iaitu Adam Adli Abdul Halim serta Mandeep Singh, di balai polis Jinjang hari ini.
Memetik kata peguam Wong Kah Woh seperti yang dilaporkan Malaysian Insider, Teo akan diwakili Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Lim Lip Eng sementara Melissa Sasidaran dan Eric Paulsen pula mewakili Adam dan Mandeep.
Begitupun, berdasarkan akaun Twitter Wong, majistret hanya membenarkan Teo direman sehari. Difahamkan dia akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada jam 2 petang ini untuk diambil keterangannya.
Sementara itu, Paulsen dalam Twitternya menyatakan Majistret Erry Shahriman telah membenarkan pihak polis mereman Adam dan Mandeep selama tiga hari hingga Selasa atas alasan mereka adalah 'flight risk' atau cenderung untuk lari dari memberi keterangan.
“Keputusan majistret adalah mengejutkan kerana tiada bukti bahawa Adam dan Mandeep adalah ‘flight risk’. Sebaliknya mereka telah bekerjasama dengan polis,” ujar Paulsen dalam tuitnya.
Selain itu, melalui tuitnya juga, Paulsen berpendapat bahawa Adam dan Mandeep sudah biasa berjumpa polis dan agak mengejutkan sekiranya majistret mendapati mereka adalah ‘flight risk’.
Teo ditangkap pada Sabtu selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberikan keterangan tentang penyertaannya dalam perhimpunan #KitaLawan.
Penahanan Adam dan Mandeep pula berlaku beberapa jam kemudian selepas mengadakan demonstrasi duduk di hadapan kompleks beli belah Sogo di ibu negara.
Selain mendesak pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, protes itu juga mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.
Polis pada mulanya membenarkan himpunan itu tetapi kemudiannya mula menahan pemimpin PR yang terlibat seorang demi seorang.