Dua ADUN ditahan berhubung LTTE kekal sebagai wakil rakyat - SPR
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 15, 2019 15:30 MYT
Oktober 15, 2019 15:30 MYT
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan polis kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Tamil Eelam (LTTE), akan kekal sebagai wakil rakyat.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, seseorang wakil rakyat itu hanya akan hilang kelayakan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen sekiranya mereka disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan didapati bersalah.
"Hilang kelayakan untuk menjadi wakil rakyat hanya akan terjadi sekiranya terdapat pensabitan oleh mahkamah , he must be found guilty. Mesti terdapat pensabitan oleh mahkamah dan dia mesti dihukum penjara 12 bulan atau lebih atau denda tidak kurang dari RM2,000 baru dia disqualified.
"Tetapi walaupun disabit dan dihukum begitu tetapi kalau merayu tak disqualify lagi, dia kena proses rayuan habis. Baru disqualify. Maka dia kena pensabitan, ditangkap dibawah SOSMA tu bukan pensabitan mahkamah,' katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Demokrasi di Universiti Sains Malaysia, di sini, pada Selasa.
Beliau mengulas penahanan dua ADUN yang masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan yang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) baru-baru ini selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.
Katanya lagi, penahanan kedua-dua ADUN itu oleh pihak polis tidak akan menyebabkan mereka hilang kelayakan sebagai ADUN.
Selain dua ADUN berkenaan, polis turut menahan lima lagi individu pada 10 Oktober lalu selepas turut disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas berkenaan.
Lima lagi individu, termasuk seorang guru kemudiannya ditahan pada 13 Oktober lalu kerana disyaki terbabit mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE adalah 12 orang.
#ADUN
#Azhar Azizan Harun
#hilang kelayakan wakil rakyat
#LTTE
#Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
#pengganas
#SOSMA
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tamil Ealam