DSA : Simulator pesawat TUDM beri peluang pengunjung kendali pesawat pejuang

Bernama
Mei 7, 2024 04:45 MYT
Sebahagian delegasi mengunjung tapak pameran pada DSA dan NATSEC Asia 2024 di MITEC pada Selasa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Simulator penerbangan Fighter Interactive Trainer System (FITs) dibangunkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman mengendalikan pesawat pejuang.
Dibangunkan sepenuhnya anggota TUDM sendiri, simulator mudah alih itu yang pertama sepertinya di Asia, dibangunkan untuk tujuan latihan bakal dan juruterbang TUDM dan menjadi antara yang sering mencuri tumpuan, setiap kali dibawa ke pameran-pameran dalam negara.
Pegawai Waran 1, Azean Aliasan berkata, simulator jet pejuang Hawk 208 satu tempat duduk itu, menggunakan kokpit dan instrumen sebenar pesawat berkenaan dan mula dibangunkan pada 2016.
"Sekarang ia dinaik taraf kepada FITs 2.0 dan ia ada satu lagi (tambahan) tempat duduk, monitor dan alat kawalan untuk juruterbang, jadi boleh ada dua juruterbang untuk simulator ini.
"Simulator ini juga ditambah dengan kamera (di hadapan kokpit) dan sudut pandangan di monitor tiga skrin itu, akan berubah mengikut pergerakan kepala juruterbang," katanya kepada Bernama.
Simulator dibangunkan sebagai projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) anggota di Pusat Simulator Pejuang (PSP) TUDM, Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang itu, kini dipamerkan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, hingga Khamis.
Azean berkata, simulator itu juga pernah dibawa ke pameran sama sebelum ini, selain Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Pameran Penerbangan Selangor (SAS) dan Hari Terbuka TLDM Lumut.
Beliau berkata, simulator itu dibuat mirip kepada jet pejuang sebenar menggunakan sistem latihan penerbangan realistik, manakala laluan penerbangan boleh diubah mengikut keperluan.
"Walaupun banyak pihak yang berminat untuk membeli simulator penerbangan itu terutama bahagian kokpit dan komponennya, buat masa ini pihaknya belum bercadang menjual simulator berkenaan.
"Ada sesetengah pihak yang menawarkan harga tinggi untuk mendapatkannya tapi ini aset kerajaan, jadi kita tak menjualnya," katanya. - BERNAMA
#TUDM #jet pejuang #aset kerajaan #laluan penerbangan
;