DSA NATSEC Asia 2024: Kontrak, MoU bernilai lebih RM5 bilion bakal dimeterai

Bernama
Mac 17, 2024 04:00 MYT
Nadzeem berkata beberapa kontrak telah dikenal pasti dan akan ditandatangani pada hari ketiga pameran, membabitkan KDN dan Kementerian Pertahanan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 dari 6 hingga 9 Mei, bakal menyaksikan pemeteraian kontrak dan memorandum persefahaman bernilai lebih RM5 bilion.
Pengarah Eksekutif DSA 2024 Nadzeem Abdul Rahman berkata beberapa kontrak telah dikenal pasti dan akan ditandatangani pada hari ketiga pameran, membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan.
"Setakat ini nilai kontrak hampir mencecah RM5 bilion, tetapi masih ada beberapa lagi kontrak yang akan diputuskan oleh kedua-dua kementerian tersebut dalam masa terdekat, (akan diputuskan) sebelum bermulanya DSA dan NATSEC Asia 2024. Ia boleh jadi lebih lagi (nilai kontrak)", katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Pada DSA dan NATSEC Asia edisi ke-17 dua tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah memeterai 54 kontrak dan memorandum persefahaman pertahanan bernilai RM4.6 bilion, manakala KDN menandatangani satu memorandum persefahaman dan lapan kontrak bernilai RM2.596 billion.
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 edisi ke-18, dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Ditanya penampilan berlainan pada pameran DSA dan NATSEC edisi kali ini, Nadzeem berkata pihaknya akan mengadakan beberapa acara sampingan iaitu DSA dan NATSEC Asia Lab, Segmen Angkatan Masa Hadapan, DSA dan NATSEC Asia Tv; dan Pavilion Pesawat Tanpa Pemandu (UAV), Dron dan Robotik.
Beliau berkata DSA dan NATSEC Asia Lab, merupakan platform yang memberi peluang kepada perusahaan kecil serta syarikat baru untuk mempromosikan inovasi, produk, dan perkhidmatan mereka ke pasaran selain membuka peluang untuk mengetengahkan keupayaan bukan sahaja kepada pengguna malah boleh menarik pelabur atau bekerjasama dengan syarikat global.
"Segmen Angkatan Masa Hadapan pula memberi peluang kepada pempamer untuk menunjukan alatan serta keperluan pengunaan Future Forces, dimana banyak negara termasuk Malaysia yang akan menstrukturkan organisasi sejajar dengan perkembangan teknologi, cabaran masa hadapan dan peperangan moden.
"DSA dan NATSEC Asia Tv merupakan saluran media yang akan membuat liputan aktiviti harian pameran, serta berfungsi sebagai platform untuk mempromosi produk dan teknologi terkini, memberikan berita industri pertahanan dan keselamatan, serta temu bual dengan pemimpin industri dan delegasi," katanya.
Nadzeem berkata Pavilion UAV, Dron dan Robotik merupakan hasil usaha sama dengan National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia, untuk memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempamer keupayaan, kecekapan dan reka cipta teknologi dron, kecerdasan buatan (AI) dan robotik dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
Selain itu, beliau berkata terdapat juga acara lain bagi menyerikan lagi pameran itu seperti persembahan teknikal dan demo produk, forum, persidangan dan seminar.
"Saya berharap agar pameran ini membawa manfaat yang besar kepada industri pertahanan dan keselamatan tempatan, supaya mereka dapat mengambil peluang ini untuk menonjolkan keupayaan mereka bagi menembusi pasaran antarabangsa.
"Semoga DSA dan NATSEC Asia kali ini menjadi titik tolak untuk inovasi dan kerjasama yang berkekalan dalam membangunkan penyelesaian yang lebih berkesan dan cekap, dalam memenuhi cabaran-cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
#KDN #DSA #nilai kontrak #pasaran antarabangsa
;