DSA NATSEC Asia 2024 buka peluang integrasi teknologi terkini dalam keamanan negara

Astro Awani
Mei 24, 2024 10:45 MYT
Edisi kali ini melibatkan 60 buah negara yang meliputi 48,000 meter persegi keluasan tapak pameran dan merupakan antara pameran yang terbesar di Asia Tenggara mahupun dunia. - Foto/ DSA Natsec Asia 2024
DSA Exhibition & Conference Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menganjurkan Pameran Defense Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 dengan jayanya pada 6 hingga 9 Mei lalu.
Menurut Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraan Awam KDN, Zulkifli Abidin, penganjuran seperti itu memberi peluang kepada syarikat-syarikat industri pertahanan dan keselamatan tempatan bagi memperkenalkan serta mempamerkan keupayaan masing-masing selari dengan kemajuan teknologi.
“Secara tidak langsung kita dapat melakukan perbandingan serta penilaian mendalam berkenaan dengan sesuatu peralatan, sistem mahupun teknologi pertahanan dan keselamatan.
“Di KDN juga kita dalam tindakan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Sistem Kawalan Sistem Kawalan Sempadan Negara (National Border Control System - NBCS),” katanya.
Ia adalah sebagai langkah strategik KDN untuk memperkukuh kawalan keselamatan sempadan Malaysia melalui penggunaan teknologi terkini di mana pembangunannya akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini berasaskan teknologi Artificial Intelligence (AI).
Menariknya, edisi 2024 menjadi tahun yang berjaya apabila mencatat sambutan terbesar berbanding penganjuran edisi lalu di mana seramai 1,200 pempamer antarabangsa dan tempatan yang hadir.
Ia telah melibatkan 60 buah negara yang meliputi 48,000 meter persegi keluasan tapak pameran dan merupakan antara pameran yang terbesar di Asia Tenggara mahupun dunia.
Penyertaan KDN menerusi tiga reruai iaitu reruai KDN sendiri yang turut disertai oleh semua agensi di bawah KDN, kedua ialah reruai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan reruai ketiga ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Secara keseluruhannya, penyertaan KDN pada pameran ini bertepatan dengan fokus hala tuju iniasitif utama KDN iaitu ke arah memperkasakan penggunaan teknologi untuk keselamatan negara,” tambahnya.
Pameran replika-replika kapal yang menjadi aset kebangsaan negara seperti kapal Offshore Patrol Vesel (OPV) atau lebih dikenali sebagai KM Tun Fatimah, kapal New Generation Patrol Vessels (NGPC) dan juga bot PERKASA antara yang menjadi tumpuan.
Selain itu, pameran aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog), yang memberi peluang untuk orang ramai melihat teknologi bagaimana robot pemusnah bom berfungsi.
Turut tidak ketinggalan, unit Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang mempamerkan peralatan Had Laju Laser TRUCAM buatan Amerika Syarikat yang mampu mengesan had kelajuan pengguna jalan raya yang memandu melebihi had kelajuan dan menggunakan lorong kecemasan.
"Juga terdapat penampilan maskot serta pameran uniform setiap agensi penguat kuasa di bawah KDN dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang menarik perhatian pengunjung,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak KDN turut berharap agar penganjuran DSA dan NATSEC 2024 mampu meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan Malaysia bersama-sama dengan rakan setugas daripada negara lain.
#DSA NATSEC Asia 2024 #Kementerian Dalam Negeri #KDN #Zulkifli Abidin