DSA, NATSEC Asia 2022 medan Tentera Darat Malaysia banding aset terkini untuk pertahanan negara
Bernama
Mac 23, 2022 04:37 MYT
Mac 23, 2022 04:37 MYT
KUALA LUMPUR: Platfrom Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 dilihat sebagai medan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) membuat perbandingan mengenai aset yang terbaik dan terkini untuk pertahanan negara.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata ini kerana di pameran berkenaan, TDM boleh melihat aset-aset canggih dan berteknologi dari negara lain untuk rujukan masa hadapan.
"Melalui pameran itu, TDM dapat buat perbandingan dengan sebarang aset yang moden supaya aset pertahanan negara kita seiring dengan negara-negara lain dan tidak ketinggalan zaman.
Selain itu, pameran berkenaan juga adalah untuk generasi muda seperti pegawai dan anggota tentera darat dapat belajar mengenai peralatan berteknologi tinggi," katanya dalam program Ruang Bicara Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 yang disiarkan secara langsung di Bernama TV, malam tadi.
Zamrose berkata melalui pameran ini, pucuk pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat berjumpa dengan rakan sejawatan dari negara lain bagi bertukar maklumat dan pandangan.
"Dianggarkan seramai 25,000 pelawat termasuk 5,000 dari luar negara, selain 350 delegasi dari 40 buah negara akan menghadiri pameran ini sekali gus memberi peluang untuk berjumpa dan membincangkan mengenai aspek pertahanan dan keselamatan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi DSA Tan Sri Asmat Kamaluddin berkata penganjuran pameran berkenaan yang merupakan kelima terbesar di dunia akan membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.
"Pada penganjuran DSA sebelum ini, ia telah berjaya menyumbang RM900 juta dan untuk kali ini, kami menganggarkan RM500 juta sumbangan kepada ekonomi negara," katanya.
Dalam pada itu, Asmat berkata pada DSA kali ini, dua persidangan utama akan dianjurkan iaitu Putrajaya Forum bertajuk "Tanggungjawab Bersama, Serantau Bersama" dan mengenai keselamatan siber iaitu "Masa Hadapan Keselamatan di Asia Tenggara".
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 akan berlangsung dari 28 hingga 30 Mac ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
DSA dan NATSEC Asia 2022 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta kakitangan polis dan agensi penguatkuasaan sahaja.
-- BERNAMA