DSA 2022: Mesyuarat TCA setuju kembangkan kerjasama rentas bidang pertahanan - Hishammuddin

Fareez Azman
Mac 28, 2022 14:02 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana dalam sidang media Mesyuarat TCA di ibu negara pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Sha
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jalinan Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju untuk mengembangkan kerjasama melangkaui bidang pertahanan dengan menggabungkan agensi berkaitan pertahanan dan keselamatan setiap negara.
Jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, persetujuan bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana itu dijangka mengukuhkan lagi pemantauan serta keselamatan di laut, udara dan darat di antara tiga negara itu.
"Dalam pertemuan kami, kedua rakan sejawatan dan saya telah mencapai tiga perjanjian berikut iaitu untuk mengembangkan TCA melangkaui bidang pertahanan dengan menggabungkan pendekatan pelbagai Kementerian dan agensi berkaitan yang dirasakan perlu.
"Kedua, mempercepatkan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Maritim Trilateral (TMP LO) secara tetap di Pusat Pemerintahan Maritim di setiap negara. Ini bagi memastikan informasi, pemantauan dan pelaksanaan aktiviti maritim dan udara dapat dilakukan secara efektif," kata Hishammuddin dalam sidang media selepas mesyuarat TCA diadakan pada Isnin.
Tambahnya, mesyuarat turut bersetuju agar operasi pengawasan dan risikan diperkukuhkan dalam meningkatan produktiviti dan ketepatan menghadapi aktiviti jenayah rentas sempadan di rantau ini.
Dalam pada tambah Hishammuddin, ketiga-tiga negara juga bersetuju untuk memberi mandat kepada Pegawai Kanan Pertahanan untuk mengambil tiga langkah berikut.
"Menginstitusikan Mesyuarat Peringkat Menteri TCA yang akan diadakan sekurang-kurangnya setiap tahun untuk meningkatkan penglibatan dan komitmen strategik di kalangan ketiga-tiga negara.
"Meningkatkan kehadiran di laut secara berkesan untuk menghalang ancaman keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi. Ketiga, menerokai latihan di darat yang akan diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera setiap negara," jelasnya lagi.
Dalam pada itu mengulas lanjut, tambah Hishammuddin, TCA yang dijalin sejak sekian lama telah membuktikan keberhasilannya apabila jenayah di Laut Sulu dan Sulawesi berjaya ditangani.
"Sebagai contoh, buktinya apabila sifar insiden membabitkan penculikan untuk tebusan (KFR) dilaporkan pada tahun 2021. Ini menunjukkan kepada dunia bahawa dengan menguatkan kerjasama keselamatan serantau adalah langkah yang terbaik," katanya lagi.
Justeru, beliau yakin dengan adanya Perjanjian Jalinan Kerjasama itu dapat menguatkan hubungan diantara tiga negara.
#Hishammuddin Hussein #DSA 2022 #Natsec 2022 #Indonesia #Filipina
;