DSA 2022: Malaysia, Indonesia dan Filipina akan perkukuh kerjasama pertahanan - Hishammuddin

Fareez Azman
Mac 27, 2022 12:38 MYT
Hishammuddin dan Hamzah dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara pada Ahad. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerjasama pertahanan antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diperkukuhkan terutama melibatkan ancaman di Laut Sulu.
Demikian jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara pada Ahad.
Jelasnya, mesyuarat Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) itu melibatkan dua rakan sejawatannya yang turut dijadualkan hadir dalam pameran DSA 2022.
"Saya ingin umumkan, saya akan adakan Mesyuarat Jalinan Kerjasama Trilateral (TCA) bersama Menteri Pertahanan Indonesia (Leftenan Jeneral Prabowo Subianto) dan Setiausaha Pertahanan Filipina (Delfin Lorenzana) yang akan hadir dalam DSA 2022 kali ini.
"Mesyuarat ini adalah untuk memperkukuh kerjasama trilateral antara tiga negara. Ini juga akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama Datuk Seri Hamzah (Zainudin) kerana ia melibatkan keselamatan Laut Sulu kerana ketiga-tiga negara ini mempunyai musuh yang sama," katanya.
Tambahnya, kerjasama antara tiga negara itu telah lama terjalin sebelum ini dan perlu diperkukuhkan.
"Saya dan Menteri Pertahanan Filipina dah membuat keputusan bahawa inilah masa terbaik untuk kami bertiga memperkukuhkan kerjasama trilateral ini.
"Pada mulanya kita bekerjasama dalam tindak balas terhadap ancaman dihadapi di perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia.
"Ia lebih mengenai bagaimana untuk menangani kuasa besar di perairan antara tiga negara, keselamatan dalam negeri yang sudah tentu melibatkan Menteri Dalam Negeri bersama rakan sejawatannya," jelasnya lagi.
Dalam masa sama mengulas mengenai persiapan DSA 2022, tambah Hishammuddin, beliau amat berpuas hati dan berharap agar pameran yang diadakan kali terakhir empat tahun lalu itu, dapat berjalan dengan lancar mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan.
"Kita tengok persiapan pada tahap penghujung, jadi DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 ini akan diadakan di MITEC bermula esok selepas empat tahun tidak diadakan.
"Kita nampak penyertaan amat menggalakkan daripada 50 negara, bakal melibatkan 25,000 pengunjung dan 350 delegasi mengenai portfolio keselamatan dan pertahanan. Ini membuktikan kita sedang bergerak ke hadapan," katanya lagi.
Terdahulu, Hishamuddin bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meluangkan masa kira-kira satu jam melawat persiapan DSA 2022 di MITEC pada Ahad.
DSA 2022 selama tiga hari itu bakal bermula esok dengann penyertaan lebih 1,170 syarikat Industri Pertahanan dan Keselamatan dari 54 buah negara.
Antaranya dari negara Austria, Azerbaijan, Republik Czech, Perancis, Jerman, Indonesia, Itali, Sepanyol dan Turki.
#Hishammuddin Hussein #trilateral #Indonesia #Filipina #Laut Sulu
;