DSA 2018 bukti kestabilan Malaysia - Hishammuddin
Nursyazwani Saiful Sham
April 16, 2018 15:51 MYT
April 16, 2018 15:51 MYT
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 sebagai bukti kestabilan Malaysia di rantau ini.
Menurutnya, walaupun pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap negara ini, ia masih disambut baik negara-negara serantau.
“Program sebegini bukan hanya untuk menjual aset sahaja tetapi membuktikan bahawa negara kita kini berada dalam posisi yang cukup baik.
“Jika kita lihat hari ini, banyak negara yang bersama kita menerusi program ini dan saya cukup bangga dengan pencapaian pameran ini.
“Walaupun negara kita dilempar pelbagai tuduhan, program ini masih disambut baik oleh pengunjung luar negara dan ini sekali gus membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan tidak berasas,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak pameran DSA di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
DSA kali ke-16 kali ini membolehkan 1,500 pempamer menonjolkan produk mereka dengan ruang yang lebih luas dan strategik.
Menurut Pengarah Urusan DSA, Anita Jacobson, pameran kali ini menyasarkan 50,000 pengunjung dari 30 negara dengan sasaran untuk memberi peluang kepada penggiat industri memasarkan produk mereka selain bertukar-tukar idea.
Tambah Anita, DSA merupakan acara dwitahunan yang diadakan sejak tahun 1988 dan buat julung kali, Natsec diperkenalkan tahun ini dengan kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
“Apa yang menarik kali ini adalah kita telah melancarkan Natsec Asia 2018 yang merupakan pameran khusus untuk keselamatan dan ia merupakan kolaborasi yang julung kali diadakan.
“Gabungan ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pertahanan dan keselamatan negara,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Dalam pada itu, DSA yang dianggap sebagai pameran pertahanan dan keselamatan terbesar di Asia bermula hari ini sehingga Khamis bakal menjadikan Malaysia sebagai platform untuk mempamerkan teknologi dan persenjataan terkini.
Ia juga diharap dapat menyatukan pelbagai pembuat dasar kerajaan, agensi tentera dan mekanisme pertahanan serantau.