DSA 2016 beri pendedahan meluas kepada belia mengenai pertahanan, keselamatan
Bernama
April 18, 2016 10:08 MYT
April 18, 2016 10:08 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kajian Institut Keamanan dan Penyelidikan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) mendapati perbelanjaan global bagi ketenteraan pada 2015 dianggarkan berjumlah US$1.68 trilion (RM5 trilion), meningkat kira-kira satu peratus daripada 2014.
"Perbelanjaan dunia Barat bagi pertahanan berkurangan, tetapi perbelanjaan ketenteraan di Asia dan Oceania meningkat 5.4 peratus pada 2015, rantau paling pesat berkembang di dunia, malah mengatasi Timur Tengah yang dilanda konflik," katanya.
Hishammuddin berkata peningkatan perbelanjaan ketenteraan di Asia menunjukkan wujudnya sikap berhati-hati tentang keselamatan serta menyerlahkan betapa pentingnya langkah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Urusan kami adalah melindungi nyawa dan berkhidmat kepada orang ramai. Malah, kami perlu bersiap sedia pada setiap masa untuk menghadapi malapetaka yang mungkin berlaku," katanya pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016, yang dianggap antara lima Pameran Pertahanan terkemuka dan akan berlangsung mulai esok hingga Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Hishammuddin berkata bersempena DAS 2016, Program Belia DSA 2016 yang julung kali diadakan, akan melibatkan belia dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, alumni khidmat negara dan Yayasan Sukarelawan Malaysia.
Program itu, kata beliau, adalah hasil kerjasama antara Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kemenetrian Pengajian Tinggi.
Menurut Hishammuddin, 500 belia yang terlibat itu dipilih berdasarkan potensi yang dimiliki dalam bidang pertahanan dan keselamatan ketika di kampus dan program berkenaan akan menjadi platform penting untuk mendidik mereka bagi menjadi pakar dalam bidang berkenaan.