DSA 2014 terima jumlah pelawat terbesar - Hishammuddin
Bernama
April 18, 2014 10:48 MYT
April 18, 2014 10:48 MYT
Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang berakhir semalam mencatatkan rekod tersendiri dengan penyertaan 1,000 syarikat dari 60 negara serta menerima lebih 30,000 pelawat iaitu angka tertinggi dicatatkan dalam sejarah DSA.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada 2012, pameran itu menarik 24,980 pengunjung.
"Keupayaan DSA menjadi platform untuk pemeteraian perjanjian komersial merupakan bukti acara ini antara pameran peneraju bagi sektor pertahanan dan keselamatan global.
"Industri pertahanan sememangnya antara industri pertumbuhan berpotensi kukuh yang disasar oleh kerajaan untuk terus diperkembang," katanya dalam ucapan penghargaan DSA 2014, di sini hari ini.
Beliau juga berkata pameran itu yang dianggap sebagai satu daripada lima pameran pertahanan terbesar dunia, menyaksikan empat pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), lima Surat Penerimaan (LoA), enam Surat Hasrat dan 10 kontrak.
Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, berkata perhimpunan DSA itu memperkukuh kepercayaan bahawa menjaga hubungan baik amat penting dalam dasar pertahanan dan keselamatan.
"Sokongan yang dilahirkan oleh rakan sejawatan saya dan kerajaan dari seluruh dunia (berhubung tragedi penerbangan MH370), turut menaikkan semangat saya untuk mencari kebenaran tentang tragedi ini.
"Saya percaya dengan bantuan rakan-rakan kami, kami akan berjaya dalam usaha pencarian serta akan menemui jawapan yang dicari," katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat Malaysia Airlines itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada peringkat awal, usaha menjejaki pesawat itu melibatkan 26 negara dengan lebih seratus aset laut dan udara serta dianggap operasi terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. Selepas 41 hari, operasi kini ditumpukan di selatan Lautan Hindi membabitkan beberapa negara yang mempunyai aset bersesuaian untuk keadaan di situ.
Sementara itu, Hishammuddin berkata industri pertahanan tidak sepatutnya dimonopoli oleh sesebuah negara sahaja, manakala halangan untuk menyertai industri wajar diturunkan selain menggalakkan persaingan demi faedah semua.
Beliau turut menyentuh bagaimana anjakan dalam teknologi serta kelakuan masyarakat telah mewujudkan ancaman yang tidak dijangka di seluruh dunia.
Ancaman itu, baik yang bersifat tradisional mahupun bukan tradisional, berkembang dengan pantas dan mencabar keupayaan kita untuk mencari penyelesaian, katanya.
"Perubahan drastik dalam dinamik menyaksikan penurunan dalam ancaman keselamatan tradisional, sementara ancaman bukan ketenteraan menjadi semakin berbahaya, menuntut semua pihak mencari pendekatan yang lebih baik.
"Dinamik dan ancaman baharu ini menuntut kita berfikir di luar kotak, menguji strategi lautan biru, terutama bagi keamanan dan kestabilan negara," katanya.
Sehubungan itu, Hishammuddin berkata setiap negara termasuk Malaysia harus memastikan keupayaan pertahanannya seiring perkembangan terkini dari segi teknologi dan fungsi.
Beliau juga berkata DSA 2014 mengingatkan semua peserta akan pentingnya bekerjasama terutama antara agensibagi meningkatkan tahap siap siaga.