DSA 2014 berakhir dengan kejayaan besar

Bernama
April 18, 2014 10:42 MYT
Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia - Foto BERNAMA
Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2014) dwitahunan yang berlangsung selama empat hari, berakhir semalam dengan kejayaan besar dari segi jumlah pengunjung, pempamer dan perjanjian komersil yang ditandatangani.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, DSA 2014 menerima lebih daripada 30,000 pengunjung dari lebih 70 buah negara bagi tiga hari pertama berbanding hanya 26,980 dua tahun lalu.
Beliau juga menerima 13 kunjungan hormat rakan sejawatan dari luar negara serta pegawai kanan kerajaan semasa acara tersebut dengan tujuan untuk membincangkan kerjasama dua hala dan komitmen serantau dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Pemimpin-pemimpin asing juga melahirkan rasa simpati mereka ke atas keluarga mangsa pesawat MH370 yang hilang dan memuji cara Malaysia mengendalikan krisis itu.
"Ini terutamanya berkaitan dengan penyelarasan operasi mencari multinasional yang sangat kompleks dan tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Hishammuddin pada majlis penutupan DSA 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Beliau juga berkata, DSA 2014 menyaksikan sebanyak 25 Memorandum Persefahaman, surat penerimaan dan surat hasrat ditandatangani.
"Empat syarikat tempatan memeterai perjanjian usaha sama dengan rakan luar negara, satu aliran yang saya berharap akan berterusan untuk peserta industri pertahanan tempatan.
"Industri pertahanan memang sedang berkembang dengan potensi yang kukuh yang mana kerajaan sedang berusaha untuk memupuknya.
"Ia tidak sepatutnya dimonopoli oleh mana-mana satu negara. Halangan untuk memasuki industri ini perlu dikurangkan untuk menggalakkan lebih banyak persaingan," katanya.
DSA 2014 menjadi tuan rumah kepada lebih daripada 300 pegawai tertinggi kerajaan dan perwakilan asing dari lebih 44 negara.
Hishammuddin berkata, Malaysia harus mempamerkan potensinya dalam sektor itu kepada dunia.
#DSA #Hishammuddin Hussein #Perkhidmatan Pertahanan Asia
;