DRZ Iskandar dijangka jana pelaburan RM315 juta, wujud 1,000 kerja menjelang 2025

Bernama
Januari 21, 2022 09:20 MYT
Hasni (tengah) meninjau proses pemasangan dron selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Ujian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Iskandar Puteri. -Bernama
ISKANDAR PUTERI: Zon dron dan robotik Iskandar -- DRZ Iskandar di Medini dijangka menarik pelaburan bernilai RM315 juta selain dapat mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan menjelang 2025.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pembangunan Tapak Ujian Dron (DTS) berkeluasan lebih 687.96 hektar di DRZ Iskandar dan menjadikannya terbesar di Asia Tenggara, akan turut memacu ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan usahawan di sekitarnya.
Menurutnya, selain menarik pelaburan domestik dan asing, DRZ Iskandar juga menyasarkan untuk menarik 70 syarikat dron dan robotik serta mewujudkan 1,000 pekerjaan dalam industri dron dan robotik menjelang 2025 di Johor.
"Saya gembira melihat bagaimana kesungguhan pasukan Iskandar Investment Bhd (IIB) berusaha merealisasikan aspirasi tersebut menerusi pembukaan DTS pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan DTS itu di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.
Hasni berkata, IIB setakat ini telah membelanjakan hampir RM4 juta bagi pembangunan DRZ Iskandar manakala kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan besar bagi pembangunan ekosisten dron dan robotik tersebut.
Sementara itu, Khairil Anwar berkata objektif DRZ Iskandar adalah untuk mewujudkan ekosistem dron dan robotik di Iskandar Malaysia yang mampu menjadi pemacu pertumbuhan, peneraju teknologi dan hab bakat untuk Malaysia serta Asia Pasifik.
"DTS merupakan komponen utama DRZ Iskandar dalam usaha merintis penyelesaian teknologi baharu dan menjalankan ujian-ujian berkaitan.
"Ini membantu dari segi mempercepat ujian penyelesaian berkuasa dron yang dibangunkan di peringkat tempatan. Ia juga dapat mewujudkan persekitaran selamat dan sebenar bagi kalangan penginovasi menguji, menerbangkan dan mengenal pasti kaedah untuk pesawat kawalan jarak jauh berintegrasi dalam ruang udara kita dengan selamat.
Menurut Khairil Anwar, DTS juga merupakan antara elemen utama dalam menyokong usaha bagi merealisasikan agenda ekonomi digital Johor.
-- BERNAMA
#Hasni Mohammad #Tapak Ujian Dron #DRZ Iskandar #Khairil Anwar Ahmad
;