Dron perlu kelulusan Jabatan Penerbangan Awam sebelum diterbangkan - Liow

Bernama
Mei 31, 2015 07:55 MYT
Semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ia diterbangkan. - Gambar Hiasan
Semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ia diterbangkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata kelulusan itu penting bagi memastikan penggunaan dron atau UAV di negara ini terkawal dan tidak menjejaskan penerbangan pesawat di ruang udara negara terutamanya di kawasan lapangan terbang.
Sehubungan itu, beliau berkata DCA akan membuat kajian menyeluruh berhubung perkara itu dan melaksanakan penguatkuasaan pendaftaran untuk penggunaan dron atau UAV dengan secepat mungkin.
"Pada masa ini beberapa siri penerangan dan dialog giat dijalankan di peringkat negeri sebelum kita mengeluarkan sebarang peraturan keselamatan yang baharu," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai 2015 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan disertai 184 pesawat persendirian di Aerodrome Sungai Rambai di sini.
Liow berkata pemilik dan peminat pesawat persendirian diingatkan agar sentiasa peka dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh DCA bagi menjamin keselamatan ruang udara negara.
Sementara itu, beliau berkata landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini, akan ditambah kira-kira 400 meter bagi memudahkan pendaratan pesawat komersial.
Liow, bagaimanapun berkata kerja menaik taraf landasan berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana ia membabitkan pengambilan tanah penduduk di kawasan tersebut.
"Usaha ini diharap dapat menarik lebih banyak pesawat komersial untuk mendarat di situ kerana saya difahamkan lima lagi syarikat penerbangan berminat untuk melakukan penerbangan di lapangan terbang berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Liow berkata LTAM adalah antara lapangan terbang penting bagi industri pelancongan serta ekonomi Melaka dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi KLIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Sementara itu, katanya Kementerian Pengangkutan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi meningkatkan kemudahan di Aerodrome Sungai Rambai, khususnya memasang lampu bagi membolehkan penerbangan pada waktu malam.
#DCA #Rambai. LTAM #uav
;