'Drawbridge' Terengganu dibuka pada umum bermula 2 Jun
Sinar Harian
Mei 30, 2019 05:15 MYT
Mei 30, 2019 05:15 MYT
Jambatan angkat atau 'drawbridge' buat pertama kalinya akan dibuka kepada orang awam pada jam 7 pagi pada 2 Jun nanti.
Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembukaan jambatan itu sehingga 17 Jun ini adalah untuk pentauliahan.
Selain itu, katanya, ia bagi pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya dan koordinasi sistem penyuraian trafik.
"Ujian dijalankan pada tarikh ini kerana ia adalah waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya, sekali gus memberi keselesaan sempena musim perayaan Aidilfitri.
"Semua jenis kenderaan beroda dibenarkan menggunakan jambatan ini namun, kenderaan tidak dibenarkan berhenti.
"Pengguna juga tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan ini kerana secara teknikal, jambatan ini masih dianggap sebagai kawasan pembinaan," katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Jelas Ahmad Samsuri, polis dan syarikat operator pengurusan jambatan itu akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga di dalam tempoh pengujian ini.
Beliau turut meminta supaya pengguna dapat mematuhi arahan pihak berkuasa.
Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun 2019, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain di dalam projek ini.
"Tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat ini akan dimaklumkan semula setelah semua kerja dan pentauliahan semua komponen projek diselesaikan," katanya.
#Ahmad Samsuri Mokhtar
#Aidilfitri
#drawbridge
#jambatan angkat
#sistem penyuraian trafik
#sistem trafik