Draf RUU gangguan seksual di peringkat akhir, dijangka siap Mac ini - Rina Harun
Hilmi Malik
Februari 14, 2021 23:26 MYT
Februari 14, 2021 23:26 MYT
KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) melibatkan isu gangguan seksual dijangka siap menjelang Mac ini yang akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, draf undang-undang tersebut kini berada pada peringkat terakhir penelitian pihak Jabatan Peguam Negara.
"Draf hantar ke AGC (Jabatan Penguam Negara) untuk menilai jika ada pindaan kecil.
"Bersidang saja Parlimen nanti, kita akan bentangkan.
"Dalam masa sama, usaha kesedaran dan pendidikan mengenai gangguan seksual terus digerakkan semua agensi di bawah kementerian ini," katanya selepas melawat pusat rujukan khidmat sosial golongan gelandangan Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Rina turut memberi jaminan bahawa RUU berkenaan akan bersifat holistic bagi membendung isu tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, bagi mempercepatkan pembentangan RUU tersebut.
Desakan itu dibuat berikutan wujud isu sedemikian melibatkan anggota polis baru-baru ini.
Persidangan Parlimen yang sepatutnya bermula bulan hadapan ditangguhkan susulan pengisytiharaan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari sehingga 1 Ogos ini.
#gangguan seksual
#Rina Harun
#Rang Undang-Undang
#Dewan Rakyat
#Peguam Negara
#AGC
#bentang di Parlimen