Draf resolusi Persidangan Pengurusan Banjir dibentuk

Harits Asyraf Hasnan
Februari 16, 2015 19:27 MYT
Majlis penyampaian draf resolusi disempurnakan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Omar Osman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mat. - Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Lebih 2,000 penyelesaian berhasil direncanakan melibatkan 1,700 permasalahan yang dibentang pada Persidangan Pengurusan Banjir Kelantan 2015.
Disertai 500 peserta, persidangan tiga hari itu berasaskan Model Pengurusan Risiko Bencana bagi Pembangunan Lestari yang dibangunkan Universiti Sains Malaysia (USM).
Teras persidangan meliputi aspek pencegahan, persediaan, tindakan, pemulihan dan tadbir urus ketika berdepan bencana banjir.
Hasil persidangan, satu draf resolusi dibentuk yang memfokuskan isu sosial, infrastruktur, ekonomi, alam sekitar dan kerangka kerja polisi.
Majlis penyampaian draf resolusi disempurnakan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Omar Osman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mat dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang diwakili Pengarah Teknikalnya, Wan Marzuki Wan Ismail pada Isnin.
Pakar-pakar dalam lima bidang fokus ini bukan sahaja dari universiti-universiti tempatan, malah melibatkan pelbagai kementerian dan agensi terlibat telah membentangkan kertas kerja dan berbincang untuk mencari penyelesaian lestari.
Disamping itu, isu-isu berkaitan pemulihan dan pembangunan pasca banjir turut diperdebat dan dikupas dengan teliti.
Draf resolusi itu antara lain dilihat sebagai pendekatan dalam memastikan perancangan yang lestari dapat dibangunkan bagi memastikan kesejahteraan terutamanya rakyat Kelantan.
Malah, draf resolusi komprehensif ini bakal mewujudkan kolaborasi dan jaringan di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, agensi-agensi berkaitan serta pusat penyelidikan pasca banjir.
#banjir #Model Pengurusan RIsiko Bencana #Omar Osman #pembangunan lestari #Persidangan Pengurusan Banjir Kelantan 2015 #USM
;