Draf Rancangan Tempatan di Pulau Pinang dijangka diwartakan tahun depan
Bernama
Oktober 3, 2024 05:00 MYT
Oktober 3, 2024 05:00 MYT
BUTTERWORTH: Draf Rancangan Tempatan di Pulau Pinang iaitu di bahagian pulau dan Seberang Perai dalam proses dimuktamadkan sebelum kedua-duanya diwartakan pada tahun depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP) telah siap manakala untuk bahagian pulau oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dijangka siap hujung tahun ini.
"Bagi Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang perlu dibuat semula selepas ada beberapa isu yang dibangkitkan bagi draf pelan sebelum ini yang dipamerkan dan MBPP telah melantik perunding untuk melakukan perkara yang perlu.
"Ia dijangka siap pada penghujung tahun ini dan kemudian akan diletakkan untuk publisiti manakala Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai telah siap namun kedua-duanya akan diwartakan tahun depan secara berasingan," katanya kepada pemberita di sini semalam
Chow ditemui selepas merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 peringkat Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa H'ng Mooi Lye.
Sementara itu, Chow pada majlis berkenaan turut melancarkan aplikasi baharu kerajaan negeri yang dinamakan Pelan Struktur Pemantauan Elektronik (eMOSPlan) yang dibangunkan bagi melengkapkan sistem pemantauan.
Beliau berkata aplikasi dibangunkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia@Penang) itu direka untuk memantau dengan teliti Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030(RSNPP 2030).
"Melalui eMOSPlan semua dasar, projek dan program yang digariskan dalam RSNPP2030 boleh dipantau untuk pelaksanaan serta keberkesanannya malah aplikasi itu juga akan melibatkan semua agensi negeri yang terlibat secara langsung sebagai agensi pelaksana.
"Melalui aplikasi itu juga kita dapat mengesan sebarang dasar dan polisi yang tidak relevan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat," katanya sambil menambah tahap prestasi setiap agensi negeri juga boleh dilihat menerusi aplikasi ini.
-- BERNAMA