Draf Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) sudah disemak AGC, dijangka dibahas minggu keempat
Umavathi Ramayah
Jun 27, 2024 12:15 MYT
Jun 27, 2024 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi mengatasi kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel sudah selesai disemak Jabatan Peguam Negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelan tindakan atau blue bill pindaan itu sudah siap dan sedia untuk dibentangkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.
"Kita menjangkakan pelan tindakan itu akan dibentanglan pada minggu ketiga akan dibahaskan pada akhir minggu keempat persidangan Dewan Rakyat, Julai ini," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Datuk Ahmad Yunus bin Hairi (PN-Kuala Langat).
Dzulkefly menjelaskan, segala ketidakaturan yang terkait dengan program laluan paralel akan diurus menerusi RUU itu.
"Ke depan nanti, keteraturan Sarjana Perubatan bersekali dengan program (laluan paralel) akan dapat kita tentukan dan luluskan.
"Dengan itu, kualiti dan kuantiti latihan kardiotorasik, bahkan 120 program sarjana dan 14 program parallel pathway akan dapat kita letakkan keteraturan kepada yang tidak teratur sebelum ini," katanya lagi.
Sebelum ini timbul pertikaian selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraksik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf susulan penguatkuasaan pindaan Akta Perubatan mulai 2017.
Antara penyelesaian yang dicadangkan sesetengah pihak adalah empat pakar itu diterima untuk melalui latihan khusus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai universiti pertama menawarkan program kepakaran perubatan dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang pembedahan kardiotorasik.