Draf pindaan Akta 164 masih sulit - Joseph Kurup
Dania Zainuddin
September 15, 2016 18:54 MYT
September 15, 2016 18:54 MYT
Kerajaan tidak pernah mengetepikan mana-mana pihak dalam usaha meminda sebarang akta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perbincangan dilakukan sentiasa melibatkan semua pihak bagi memastikan akta yang dibentang adalah holistik dan menyelesaikan isu berbangkit.
Mengulas dakwaan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang tidak berpuas hati kerana dikatakan tidak dirunding mengenai pindaan terhadap Undang-undang Perkahwinan dan Perceraian 1976, Akta 164, Joseph menafikannya dan menegaskan pindaan Akta itu masih sulit.
"Tidak, saya sudah merujuk hal ini kepada mereka. Ini adalah rang undang-undang yang dianggap masih sulit.
"Kami sudah dapatkan pandangan daripada mereka, kami juga sudah dapatkan pandangan dari pihak lain dan kami akan terus berbincang. Saya harap kesimpulan yang dicapai akan diterima semua pihak," kata Joseph ketika ditemui selepas melancarkan Sambutan Hari Malaysia oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Malaysia di Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebarang isu berbangkit berkenaan perceraian bagi perkahwinan yang didaftarkan secara sivil, perlulah diselesaikan di mahkamah sivil terlebih dahulu.
Susulan itu juga Perdana Menteri mengumumkan bahawa kabinet bersetuju membentangkan cadangan untuk meminda Akta berkenaan pada persidangan Parlimen akan datang.
Najib berkata ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani isu penukaran agama dan menambah cadangan pindaan itu akan diselaraskan secepat mungkin oleh Kementerian Dalam Negeri.