Dr Zulkifli, Ronald Kiandee terima suntikan vaksin COVID-19
Hilmi Malik
Februari 26, 2021 15:49 MYT
Februari 26, 2021 15:49 MYT
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri antara individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.
Dr Zulkifli selesai menerima vaksin berkenaan sekitar jam 3.15 petang Jumaat di Pusat Kesihatan Daerah Precint 11, Putrajaya.
Terdahulu beliau turut diberikan taklimat khas oleh petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta menandatangani borang persetujuan sebelum meneruskan sesi suntikan vaksin.
Tempoh 30 minit diberikan sebaik sahaja selesai proses suntikan vaksin bagi melihat sebarang kesan atau tindak balas sejurus suntikan dibuat.
Sebelum itu, Dr Zulkifli menghadiri solat Jumaat di Masjid Putra Putrajaya sebelum tiba di Pusat Kesihatan Daerah Precint 11, Putrajaya.
Antara lain yang turut hadir pada Jumaat bagi menerima vaksin berkenaan adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.