Dr Zulkifli Mohamad pulih dari COVID-19, dibenar keluar wad hari ini
Astro Awani
Oktober 14, 2020 16:50 MYT
Oktober 14, 2020 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dibenarkan keluar dari wad hari ini selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkannya untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Buat masa ini, saya disarankan untuk tidak bertemu sesiapa. Justeru, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja.
"Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya.
"Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor. Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 5 Oktober lepas, Dr Zulkifli menjadi disahkan positif pandemik COVID-19.
Dr Zulkifli turut berdoa rakyat yang menghidap COVID-19 segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta.