Dr Zulkifli dilantik anggota Majlis Hukama' al-Muslimin
Bernama
Ogos 18, 2020 05:21 MYT
Ogos 18, 2020 05:21 MYT
Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed al-Tayyib melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai anggota Majlis Hukama' Al-Muslimin.
Makluman itu adalah berdasarkan perkongsian surat rasmi oleh Setiausaha Agung Majlis Hukama' Al-Muslimin Dr Sultan Faisal Al Remeithi seperti yang dimuat naik di laman Facebook Zulkifli pada Selasa.
Surat berkenaan menyebut pelantikan Zulkifli dibuat dengan harapan kerjasama berterusan dengan ahli Majlis Hukama' Al-Muslimin lain dapat memperkukuh keamanan sejagat masyarakat antarabangsa.
Majlis Hukama' Al-Muslimin adalah sebuah institusi antarabangsa yang menghimpunkan para ulama, sarjana dan cendekiawan dikenali dengan pendekatan berhikmah, cakna keadilan, kebebasan dan kesederhanaan (wasatiyyah).
Dalam pada itu, Zulkifli yang menerima pelantikan itu berkata semoga pelantikan tersebut akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dan dunia Islam keseluruhannya.
"Saya dengan rendah diri menerima penghormatan daripada Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed al-Tayyib, Syaikhul Azhar Al-Syarif merangkap Pengerusi Majlis Hukama' Al-Muslimin yang telah menyampaikan hasrat beliau untuk melantik saya sebagai salah seorang anggota Majlis Hukama' Al-Muslimin," tambahnya.
-- BERNAMA
#ahli majlis
#cendekiawan
#Dr Zulkifli
#Hukama' Al-Muslimin
#Imam Besar Al-Azhar
#Mahathir Mohamadulama sarjana
#Sheikh Dr Ahmed al-Tayyib
#wasatiyah