Dr Zulkifli beri jaminan akan segera tunai syor Laporan Ketua Audit Negara
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 11, 2020 18:35 MYT
Disember 11, 2020 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi jaminan akan melaksanakan semua syor berkaitan zakat yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 dengan secepat mungkin.
Zulkifli menyuarakan jaminan itu susulan Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkenaan perbelanjaan mengenai agihan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dikeluarkan semalam.
Laporan Siri 1 itu mendedahkan sebanyak RM14.73 juta wang zakat tahun lalu bagi asnaf fisabilillah, tidak digunakan MAIWP bagi tujuan sepatutnya dan yang memerlukan mengikut keutamaan.
"Saya telah meneliti dan mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkenaan perbelanjaan menggunakan agihan wang zakat oleh MAIWP.
"Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah satu tanggungjawab saya kepada umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan, jua amanah daripada Allah S.W.T kepada saya yang baru memegang jawatan ini untuk memastikan amanah dan kepercayaan pembayar zakat dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin.
"Segala syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 akan dilaksanakan secepat mungkin. Cukuplah firman Allah SWT yang menjadi pegangan saya ini, menjadi saksi akan kesungguhan saya dalam memastikan agihan wang zakat dapat dilaksanakan seadilnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru, pihaknya turut akan memastikan setiap sen wang zakat yang dipungut di Wilayah-Wilayah Persekutuan, akan dimanfaatkan kepada lapan golongan asnaf yang ditetapkan syarak.
Antara lain, laporan berkenaan mendedahkan, kelemahan itu dikesan hasil pengauditan yang dilakukan pada pembayaran bawah Kumpulan Wang Zakat yang meliputi transaksi Januari hingga Disember 2019 serta tahun sebelumnya selain semakan terhadap 170 baucar bayaran yang menggunakan wang zakat RM206.9 juta.
Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya skim bantuan yang diberikan kepada asnaf fisabilillah hendaklah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.
#Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama
#Laporan Ketua Audit Negara 2019
#wang zakat
#Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
#MAIWP