Dr Zahiraniza raih Anugerah Akademik Negara Kategori Pengajaran

Bernama
April 4, 2022 13:46 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada Zahiraniza semasa Anugerah Akademik Negara ke-14 diadakan baru-baru ini. - Foto UTP
KUALA LUMPUR: Prof Madya Dr Zahiraniza Mustaffa dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah meraih Anugerah Akademik Negara (AAN) bagi Kategori Pengajaran (Kelompok Kejuruteraan) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
AAN adalah pengiktirafan tertinggi kepada cendekiawan Malaysia dari institusi pengajian tinggi tempatan bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada ahli akademik yang komited dan telah memberi sumbangan besar kepada penemuan serta pembangunan ilmu untuk negara.
UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada Zahiraniza semasa Anugerah Akademik Negara ke-14 diadakan baru-baru ini.
Zahiraniza berkata beliau amat berbesar hati menerima anugerah berkenaan dan merakamkan penghargaan atas pengiktirafan daripada KPT itu.
Katanya, anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi berterusan beliau dalam bidang pengajaran sejak 10 tahun lepas dan tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan pengurusan UTP dan bahagaian akademik.
"UTP telah membimbing saya dalam kerjaya dan pembangunan diri. Ia adalah sebuah institusi yang menyokong kakitangannya dalam pelbagai cara, justeru, menjadi aspirasi saya untuk meletakkan UTP setanding dengan institusi lain dalam mengetengahkan usaha yang dilakukan oleh Petronas dan UTP untuk pembangunan manusia.
"Saya bermula dari bawah dalam meningkatkan kecemerlangan kerjaya saya dalam bidang pengajaran dan terus berkembang hingga tahap saya sekarang. Dengan anugerah ini, saya dapat berkongsi perjalanan mengajar saya dan ia akan didengari bukan sahaja dalam UTP tetapi di peringkat lebih tinggi," katanya.
Zahiraniza berkata memenangi anugerah itu juga menyediakan platform untuknya menyebarkan fahaman dan aspirasi keguruan dalam mendidik generasi muda.
"Generasi kini menggambarkan pendidik mereka, sekali gus mendidik mereka dengan pendekatan pedagogi yang betul bukan sahaja menekankan kepada kecekapan teknikal tetapi juga keupayaan untuk mereka berfikir secara rasional dalam membuat keputusan kejuruteraan.
"Faktor ini adalah penting kepada pelajar supaya apabila mereka tamat pengajian, mereka akan menjadi jurutera berperikemanusiaan," katanya.
-- BERNAMA
#Anugerah Akademik Negara #AAN #Kementerian Pengajian Tinggi #Universiti Teknologi PETRONAS #UTP #ismail sabri yaakob
;