Dr Wan Azizah terkejut dan sedih dengan kejadian tanah runtuh Tanjung Bungah
Asyraf Roslan
Jun 26, 2019 10:44 MYT
Jun 26, 2019 10:44 MYT
'Sedih dan terkejut.'
Itulah curahan perasaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila mengetahui mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Selasa.
Dr Wan Azizah juga memaklumkan menerusi laman Facebook dan Twitternya bahawa beliau mengikuti rapat perkembangan operasi dan menyelamat mangsa-mangsa kejadian tersebut.
Dalam pada masa sama, beliau turut mendoakan kekuatan buat keluarga mangsa yang terlibat.
"Saya doakan kekuatan buat keluarga mangsa yang terlibat," katanya.
Kejadian tanah runtuh berhampiran sebuah pusat peranginan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang dilapor pada pukul 9.45 malam Selasa itu mengorbankan empat rakyat Myanmar.
Kesemua lelaki Myanmar itu dilapor digaji pemilik pusat peranginan berkenaan untuk membaiki tembok penahan di kawasan itu susulan pergerakan tanah sejak seminggu lepas.
Kesemua mereka tertimbus dalam runtuhan tanah itu dan operasi mencari dan menyelamat berakhir pada pukul 4.35 pagi Rabu, selepas mayat terakhir dibawa keluar dari runtuhan itu.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Jalan Tanjung Bungah
#pulau pinang
#tanah runtuh
#Timbalan Perdana Menteri