Dr Wan Azizah, Mohamed Azmin ucap takziah kepada keluarga ADUN Seri Setia
Bernama
Ogos 2, 2018 05:37 MYT
Ogos 2, 2018 05:37 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya petang Khamis.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR itu berkata parti itu berduka atas kehilangan anggotanya buat kali kedua selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
Pada 2 Julai lepas, seorang lagi anggota parti itu yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma.
"Al-Fatihah. Buat kali kedua selepas PRU14, KEADILAN (PKR) berduka kerana kehilangan rakan seperjuangan kami.
"Salam takziah kepada keluarga YB Prof Dr Shaharuddin, ADUN Seri Setia yang telah kembali ke Rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya menerusi catatan di laman Twitter malam tadi.
Shaharuddin, 55, yang juga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor meninggal dunia di Hospital Putrajaya pukul 6.28 petang Khamis.
Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui catatan di Twitternya turut merakamkan ucapan takziah serta mendoakan Allahyarham mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah SWT.
Menerusi Twitter juga, Mohamed Azmin berkata beliau sempat menziarahi Shaharuddin petang Rabu.
"Beliau (Shaharuddin) menggenggam erat tangan saya sebaik saya membisikkan salam," kata Mohamed Azmin.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan pagi ini di Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis, Kajang sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis.
Mohamed Azmin, yang menziarahi jenazah Allahyarham di Desa Pinggiran Putra malam tadi, menyifatkan arwah sebagai individu yang cukup disenangi pelbagai pihak khususnya masyarakat di Selangor.
Beliau berkata Allahyarham juga komited dengan agenda reformasi selain sering melontarkan idea-idea baharu terutama dalam mesyuarat kerajaan negeri.
"Saya merasakan pemergiannya satu kehilangan kepada kita semua kerana kepimpinan beliau yang cukup baik," katanya kepada pemberita.
Selain Mohamed Azmin, turut menziarahi jenazah Allahyarham adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
-- BERNAMA
#ADUN
#Exco
#meninggal dunia
#Mohamed Azmin Ali
#PKR
#PRU14
#Selangor
#seri setia
#Shaharuddin Badaruddin
#takziah
#Wan Azizah Wan Ismail