Dr Wan Azizah lancar siri buku kanak-kanak bertemakan Malaysia Madani

Bernama
Jun 1, 2024 08:00 MYT
Dr Wan Azizah (tengah) bergambar bersama buku pada Majlis Pelancaran Buku Kanak-Kanak Bertemakan Madani Bersama Kasih Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan enam judul buku kanak-kanak yang menerapkan nilai-nilai Malaysia Madani sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di sini.
Siri buku tersebut adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia).
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi KASIH Malaysia berkata siri tersebut adalah satu pendekatan pendidikan holistik bagi menyemai nilai-nilai positif dalam generasi muda menerusi bahasa yang mudah difahami.
"Kita mahu didik anak-anak kita supaya mereka menjadi lebih kreatif, berdaya cipta dan berani membuat perubahan.
"Kita juga mahu menerapkan sifat ihsan yang tinggi, bermaruah, amanah dan bertanggungjawab serta mengutamakan keseimbangan duniawi dan ukhrawi. Nilai-nilai ini mencerminkan kita orang Malaysia adalah masyarakat beradab yang mengamalkan nilai-nilai ketimuran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran siri 'Buku Kanak-Kanak Bertemakan Madani Bersama-Sama KASIH Malaysia' di sini, hari ini.
-- BERNAMA
#Wan Azizah Wan Ismail #lancar buku kanak-kanak #Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 #Malaysia Madani #Kasih