Dr Wan Azizah cadang wujudkan 'rumah kucing'
Bernama
November 22, 2024 21:30 MYT
November 22, 2024 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan supaya 'rumah kucing' diwujudkan bagi menjaga kebajikan kucing gelandangan, terutama di kawasan perumahan kos rendah.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata 'rumah kucing' berkenaan boleh menawarkan perkhidmatan seperti vaksinasi, rawatan neuter dan menyediakan perkhidmatan adopsi kucing.
"Di Bandar Tun Razak kita ada banyak kucing gelandangan yang dibuang merata-rata...langkah ini (rumah kucing) dapat menyumbang kepada masyarakat yang lebih penyayang dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM) dan Pet Universe di sini hari ini.
MoU itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kebajikan kucing dan menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
Justeru, Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri menyeru agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti untuk bersama-sama meningkatkan standard kebajikan haiwan peliharaan di Malaysia dengan mewujudkan 'rumah kucing' berkenaan.
-- BERNAMA