Dr Streram fail petisyen pilihan raya bagi kerusi DUN Rantau

Bernama
Mei 24, 2018 08:15 MYT
Pada hari penamaan calon 28 April lalu, Dr Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti yang disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon. - Foto Sinar Harian
Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr S Streram pada Rabu memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini untuk memohon pengisytiharan bahawa kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi itu adalah tidak sah.
Dr Streram, 63, memfailkan petisyen itu melalui peguam bela dan peguam cara Sreekant a/l M.G Gangadharan Pillai, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Sathia Stella Sidhu pada pukul 3 petang.
Beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.
Pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 28 April lepas, Mohamad yang merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Rantau diisytiharkan menang tanpa bertanding oleh Amino Agos.
Ini berikutan Dr Streram, tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti yang disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.
-- BERNAMA
#calon #Dr S Streram #DUN Rantau #Mohamad Hasan #penamaan calon #petisyen #pilihan raya umum #PKR #PRU14
;