KUALA LUMPUR: EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud hari ini mengesahkan negeri itu bakal menerima 4,008,710 dos vaksin COVID-19 bagi bulan Julai.

Melalui perkongsian di Twitternya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu berkata, ia merupakan bekalan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Jelasnya lagi, beliau mendapat maklumat itu selepas menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) awal hari ini.

“Saya menghadiri mesyuarat CITF pusat pagi ini. Alhamdulillah, Selangor akan dapat 4,008,710 dos vaksin untuk bulan Julai. Bekalan tertinggi. Terima kasih YB Menteri (Khairy Jamaluddin),” katanya lagi.


BACA: Dari mana Exco Selangor itu dapat angka 80,000, soal Khairy
BACA: "Saya tak nak vaksin 'duduk' dalam peti sejuk"- Khairy


BACA: Dakwaan Exco Selangor akan kehabisan vaksin beberapa hari lagi disifatkan tidak tepat

Melalu lampiran yang disertakan di Twitter beliau, lebih 14 juta bekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 akan dilakukan di seluruh negara, dengan Selangor sebagai negeri penerima tertinggi, diikuti Sarawak, Kuala Lumpur & Putrajaya, Johor, Sabah, Perak, dan Pulau Pinang.

Beberapa hari lepas, perhatian tertumpu ke pertelingkahan antara Khairy dan Dr Siti Mariah, mengenai proses vaksinasi di negeri Selangor.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) berkata, Selangor tidak mempunyai masalah tentang bekalan vaksin, seperti yang didakwa beberapa pihak, termasuk Dr Siti Mariah.

Sebaliknya, jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, masalah sebenar ialah proses pemberian vaksin yang rendah berbanding kemampuan kapasiti sebenar, iaitu sekitar 20,000 hingga 50,000 individu sehari.

Beliau berkata, kemampuan kapasiti Selangor sepatutnya mencapai kadar vaksinasi 100,000 orang sehari.

Rentetan daripada kenyataan tersebut, Dr Siti Mariah mendakwa, Khairy tidak mengetahui masalah sebenar di peringkat akar umbi.

Menurut Dr Siti Mariah, Khairy sepatutnya memberitahu fakta yang benar, jika tidak hidungnya akan menjadi 'panjang'.