Dr Sidek Baba meninggal dunia

Sinar Harian
November 25, 2022 22:33 MYT
Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar pada tahun 1994 hingga 2002. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Tokoh pendidikan, Profesor Datuk Sidek Baba meninggal dunia pada jam 7 petang Jumaat.
Berita pemergian beliau yang berusia 76 tahun itu dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Dr Sidek Baba, penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 2009 yang telah kembali kerahmatullah pada 25 November 2022.
"Semoga Almarhum dikumpulkan bersama para Anbiya, orang-orang soleh, para syuhada dan muttaqin," menurut jabatan itu dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sidek yang dilahirkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar pada tahun 1994 hingga 2002.
Allahyarham yang merupakan rakan karib Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjuang bersama dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sidek turut menghasilkan banyak buku dan artikel di media tempatan.
#Dr Sidek Baba #meninggal dunia #tokoh pendidikan #Anwar Ibrahim
;