Dr Sahruddin mula tugas secara rasmi sebagai MB Johor
Astro Awani
April 15, 2019 12:21 MYT
April 15, 2019 12:21 MYT
Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal memulakan tugas rasminya di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Datuk Jaafar Mohammad, Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Dr Sahruddin tiba jam 9 pagi dengan disambut oleh barisan Exco Kerajaan Negeri dan penjawat awam.
Sejurus ketibaan beliau di Pejabat Menteri Besar, bacaan doa dibacakan oleh imam Masjid Kota Iskandar, Hanafiah Abdul Razak.
Penyerahan tugas menteri besar kemudiannha disempurnakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Dr. Sahruddin di bilik masyuarat Pejabat Menteri Besar.
"Alhamdulillah selesai penyerahan tugas saya bersama dengan YB Osman ini, sebetulnya satu prosedur biasa.
“Saya berterima kasih kepada masyarakat dan Yang Berhormat yang telah bersama-sama kita kira-kira 11 bulan untuk memastikan segala serahan tugas sebagai Menteri Besar berjalan dengan jayanya," katanya pada sidang media selepas Majlis Nota Serah Terima Tugas di sini hari ini.
Sementara itu, Osman meminta agar Dr. Sahruddin tidak memikirkan tentang polemik dan perlu memberi tumpuan kepada tugas dan kerja.
"Sebagai orang politik kita perlu fokus kepada kerja tanpa mengambil kira polemik luar yang boleh mengganggu prestasi kerja kerana sekarang ini zaman media sosial tidak sama seperti zaman Menteri Besar terdahulu," kata Osman di majlis yang sama.
Pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu dibuat selepas Osman meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar berkuatkuasa 8 April lalu.
#Dr Sahruddin Jamal
#Exco
#Iskandar Puteri
#kerajaan
#Menteri Besar
#Menteri Besar Johor
#Osman Sapian
#penjawat awam