Dr Pornthip hendak buat autopsi kes Sugumar
Teoh El Sen
Februari 4, 2013 14:08 MYT
Februari 4, 2013 14:08 MYT
Pakar patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan dikatakan telah bersetuju, secara dasarnya, untuk menjalankan autopsi keatas mayat mendiang C. Sugumar yang meninggal dunia 23 Januari lalu di Hulu Langat.
Peguam keluarga mendiang, Latheefa Koya berkata beliau telah menghubungi Pornthip di Bangkok dan dia dikatakan telah menyatakan kesediaan untuk menjalankan bedah siasat.
Bagaimanapun kata beliau, Pornthip melahirkan rasa bimbang tidak dapat menjalankan bedah siasat kerana memerlukan kebenaran secara rasmi daripada kerajaan Malaysia.
"Kami telah menulis kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), dan Kementerian Kesihatan untuk membenarkan Dr Pornthip memeriksa mayat tersebut.”
Pornthip merupakan Pengarah Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan di Bangkok. Dia mendapat perhatian di negara ini sebagai pakar yang menyelia bedah siasat kedua ke atas pembantu politik DAP, mendiang Teoh Beng Hock.
Teoh ditemui mati pada tahun 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Selangor di tingkat 14.
Kerajaan kemudiaannya menjalankan inkues dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengenalpasti punca kematian.
Suruhanjaya terbabit kemudiannya mendapati kematian mendiang adalah akibat membunuh diri.
Dalam kes Sugumar pulak, pengawal keselamatan berusia 40 tahun itu meninggal dunia selepas didakwa dikejar dan dibelasah oleh sekumpulan lelaki.
Bagaimanapun, keputusan bedah siasat Hospital Serdang mendapati mendiang meninggal dunia akibat sakit jantung.