Dr Noor Hisham dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia
Bernama
Disember 17, 2021 05:50 MYT
Disember 17, 2021 05:50 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia tahun ini atas kepimpinan beliau dan kerja keras pasukannya dalam mengekang COVID-19 secara berkesan di negara ini.
Menurut PRCA Malaysia dalam satu kenyataan lewat malam tadi, anugerah itu mengiktiraf dan memberi penghormatan peranan proaktif beliau dan dapat menjadi contoh dalam komunikasi COVID-19.
Presiden PRCA Malaysia Andy See berkata Dr Noor Hisham dengan nada tenangnya, sentiasa memastikan orang ramai maklum perkembangan terkini, memberikan temu bual dan waktu kerja yang panjang mencerminkan dedikasi, komitmen, pengorbanan dan daya tahan untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara dalam menghadapi pandemik.
"Atas semua pencapaiannya sebagai antara personaliti utama dalam mengemudi negara, berkomunikasi dengan orang ramai tepat pada masanya dan berkesan, mempertahankan negara dalam menghadapi pandemik COVID-19, PRCA Malaysia dengan bangganya memilih Tan Sri (Dr Noor Hisham) sebagai penerima Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia 2021," katanya dalam kenyataan itu.
Tahun ini PRCA Malaysia mengiktiraf dedikasi petugas barisan hadapan dalam meneruskan tugas, masa dan tenaga mereka untuk membendung pandemik ini dan sebagai tanda penghargaan, Anugerah PR Malaysia (MPRA) menyumbang lapan hidangan makan malam yang dihantar kepada 30 petugas barisan hadapan sebagai tanda sokongan kepada komitmen dan usaha mereka yang tidak berbelah bahagi dalam menguruskan COVID-19.
Selepas hampir dua tahun tidak diadakan akibat pandemik COVID-19, MPRA 2021 muncul semula dengan menampilkan barisan yang lebih besar dengan lebih banyak kategori penyertaan, panel penilai yang diperluas serta integrasi yang lebih kukuh dengan perniagaan terkemuka melalui pakej penajaan yang menarik.
PRCA Malaysia ditubuhkan pada 1999 sebagai persatuan rasmi perunding daripada firma pakar perhubungan awam dan komunikasi serta profesional dalaman di Malaysia.
-- BERNAMA