Dr Maza dan Ustaz Kazim berdamai

Astro Awani
Mac 9, 2015 12:29 MYT
Dr Maza dan Ustaz Kazim berdamai (Foto: Facebook)
Dua sosok agamawan, yang dilaporkan 'bergasak' ekoran kontroversi 'hadis roti jala' baru-baru ini akhirnya memilih untuk berdamai.
Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan penceramah popular Datuk Mohd Kazim Elias malam tadi bertemu dalam satu acara makan malam di Kangar.
Kedua mereka memuat naik gambar pertemuan yang turut disertai Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di laman Facebook peribadi masing-masing.
“Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara Muslim di kafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar,” tulis Dr Asri, manakala Kazim pula tidak banyak mengulas pertemuan tersebut.
Gambar-gambar yang dimuat naik oleh Dr Asri di laman Facebook peribadinya
Gambar-gambar yang dimuat naik oleh Kazim di laman Facebook peribadinya
Awal bulan ini, surat rasmi dalaman Jabatan Mufti Perlis yang menolak Kazim, kerana didakwa “terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu”.
Mengulas penyebaran surat tersebut, Asri menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku dan memuat naik keratan buku karya Kazim yang berjudul 'Tuhan Sedang Menguji Kita'.
Di dalam buku itu, Kazim berkata Rasulullah pernah menjamu kurma dicelup tepung dalam kenduri termurah baginda selain roti jala dicelup dengan kuah kari merupakan kenduri Baginda yang paling mahal.
Sebagai respon kepada perkara tersebut, Kazim dilaporkan berkata tindakan Asri tidak adil dan memalukannya.
Kazim berkata, beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.
#Asri Zainul Abidin #kazim elias
;