'Dr Maszlee tak sedih, mahu tumpu Simpang Renggam' - Rakan

Astro Awani
Januari 4, 2020 08:40 MYT
Mohd Fadhli berkata tiada sedikit keluhan dan luahan negatif daripada Maszlee sebaliknya hanya gelak tawa serta senyuman berterusan. -Facebook Mohd Fadhli
"APA nak sedih, saya ok je. Move on dan berbakti kepada masyarakat. Lepas ini kita lebih kuat menyantuni warga Simpang Renggam."
Itu kata mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dikongsi seorang rakan beliau yang bertandang ke rumah pemimpin tersebut susulan keputusan beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Bagi Mohd Fadhli Othman, Pengerusi IKRAMTeens Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), beliau hanya mampu meluahkan rasa sedih atas keputusan yang dibuat rakannya itu.

"'Sedih ana Dr dengan berita begini.'

"Ayat pertama yang aku luahkan pada Dr Maszlee Malik. Tiada kalimah dan perkataan yang sesuai selain menzahirkan emosi sedih dan sayu.

"Sedikit kehairanan apakah tiada bait sesalan atau sedih selepas melepaskan jawatan? Banyak visi dan misi sedang berjalan yang perlu diteruskan oleh YB Maszlee Malik.
"Malam ini aku bertandang ke rumah beliau buat pertama kalinya dan buat kali terakhirnya sebagai Menteri Pendidikan.
"Sungguh sesak dengan kehadiran rakan-rakan yang tak putus-putus beri semangat," tulis Mohd Fadhli di akaun Facebooknya.
Mohd Fadhli berkata tiada sedikit keluhan dan luahan negatif daripada Maszlee sebaliknya hanya gelak tawa serta senyuman berterusan.
Menurutnya, meskipun Maszle pernah diberi gelaran 'menteri kasut', namun pemimpin itu yang mempertahan dan meringankan bebanan guru.
"Menteri kasut inilah yang menukar polisi supaya golongan B40 mudah masuk ke asrama penuh, matrikulasi dan universiti.
"Menteri kasut inilah perkasakan 'zero reject policy' agar setiap anak berkeperluan khas diberi hak pendidikan di sekolah tanpa ada sebarang kata 'tidak boleh'.
"Menteri kasut inilah yang menambah nilai sistem pertukaran guru secara suka sama suka tapi akhirnya beliau diturunkan," katanya.
Maszlee semalam dalam satu sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya mengumumkan menyerahkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuknya mengemudi KPM.
#IKRAM #mantan menteri pendidikan #Maszlee Malik #menteri kasut #Mohd Fadhli Othman #Pengerusi IKRAMTeens #Pertubuhan IKRAM Malaysia
;