Dr Mashitah nafi terlibat sindiket pemerdagangan manusia

Sinar Harian
Ogos 29, 2024 16:31 MYT
Dr Mashitah (dua dari kanan) selesai memberi keterangan di Bukit Aman. - Foto FB Dr Mashitah
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menafikan penglibatannya dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Beliau menegaskan, dakwaan yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu berdasarkan maklumat diperoleh daripada media picisan di Indonesia.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis dan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkaitan tuduhan berkenaan.
"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang cuba mengaitkan dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi diri saya.
"Terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin. Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada Rabu menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ahli politik bersama suaminya yang didakwa terlibat dengan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashimaru mendakwa, berdasarkan video tular baru-baru ini, suami ahli politik berkenaan turut memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah keselamatan dalam syarikat yang disyaki terlibat aktiviti jenayah, Dongmei Group.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini mengesahkan polis sudah mengambil keterangan ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan. -- Sinar Harian
#sindiket pemerdagangan manusia #Mashitah Ibrahim #Myanmar #laporan polis