Dr Mahathir tiba di Kota Marmar

Nailah Huda
Oktober 26, 2019 05:09 MYT
Dr Mahathir tiba di Oguzkent Hotel, Ashgabat, Turkmenistan untuk lawatan rasmi selama dua hari. -Astro AWANI/Nailah Huda
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu tiba di 'Kota Marmar’ Ashgabat untuk memulakan lawatan rasminya selama dua hari.
Beliau yang diiringi oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada jam 9.35 malam waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev, Azerbaijan selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Baku.
Bukan disediakan permaidani merah, dan sebaliknya permaidani tradisional buatan Turkmenistan, beliau disambut oleh Menteri Luar Turkmenistan, Rasit Meredow serta Duta Malaysia di Turkmenistan, Roseli Abdul dan pegawai tertinggi dari kedua-dua negara.
Beliau turut disertai oleh Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi menghadiri mesyuarat dua hala pada Ahad.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Oguzkent Hotel, Ashgabat, Turkmenistan untuk lawatan rasmi selama dua hari. Beliau diiringi oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah serta Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi DS Azmin Ali. .@501awani pic.twitter.com/Gvs0gvlE8h

— Nailah Huda (@nylahuda) October 26, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Program buat delegasi Malaysia bermula Ahad dengan upacara sambutan rasmi di Dataran Presiden diikuti mesyuarat tertutup di antara Dr Mahathir dan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov yang kemudiannya akan mengadakan sidang media bersama.
Menurut Roseli, perbincangan dua hala di antara kedua-dua pemimpin serta delegasi dijangka tertumpu kepada kerjasama ekonomi, terutamanya dalam aspek pengeluaran gas asli.
Turkmenistan memiliki sumber gas asli keempat terbesar dunia. Dengan kekayaan itu, kota Ashgabat dipenuhi dengan bangunan diperbuat daripada batu marmar putih menjadikannya bandar dengan jumlah bangunan batu marmar tertinggi di dunia.
Lawatan Dr Mahathir akan berakhir dengan satu majlis makan esok bersama rakyat Malaysia di Turkmenistan dan akhirnya tirai ditutup dengan sidang media bersama wartawan.
Dr Mahathir bersama Dr Siti Hasmah dijangka pulang ke Malaysia pada Isnin.
BACA: Tun Mahathir kembali ke Ashgabat selepas 25 tahun
#Ashgabat #Kota Marmar #Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev #Mahathir Mohamad #Mohamed Azmin Ali #NAM #Rasit Meredow #Roseli Abdul #Saifuddin Abdullah #Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali #Siti Hasmah
;