Dr Mahathir sokong rancangan inisiatif 'Jalur dan Laluan' negara China
Afiq Ariffin
April 26, 2019 15:11 MYT
April 26, 2019 15:11 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong sepenuhnya inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) yang dirancang oleh negara China.
Perdana Menteri dalam ucapannya di forum kedua kerjasama antarabangsa jalur dan laluan (BRF) Beijing turut menambah bahawa teknologi moden dapat meningkatkan laluan laluan Belt and Road antara Timur dan Barat.
“Ya. Ia jelas bahawa dengan teknologi moden, setiap laluan boleh diperbaiki.
“Sama seperti perdagangan menerusi oleh kapal besar yang telah berjaya mengembangkan perdagangan, laluan tanah juga boleh memberi tindak balas kepada keperluan peningkatan perdagangan antara Timur dan Barat,” ujar Tun Mahathir dalam ucapannya.
Selain itu, beliau juga bertanya sama ada kereta api boleh dibina lebih besar untuk membawa lebih banyak barangan, bahan mentah dan orang ramai.
Tambah beliau, laluan tanah seharusnya bertindak balas terhadap keperluan peningkatan perdagangan di antara Timur dan Barat.
Jelasnya, kereta api dapat memendekkan laluan antara Timur dan Barat kerana ia lebih cepat berbanding kapal.
Kata Dr Mahathir, perdagangan perkapalan juga akan memberi ancaman kepada negara-negara pesisiran misalnya isu tumpahan minyak dan pembuangan sisa yang mencemarkan laut.
Menurutnya lagi, negara di pesisir sukar untuk membiayai kerja pembersihan di perairan antarabangsa yang ditetapkan, katanya sambil merujuk kepada kejadian tumpahan minyak dan pencemaran yang berlaku di Selat Melaka.
"Mereka (negara pesisir) seringkali menjadi mangsa pencemaran dan mereka memerlukan modal yang besar untuk kerja-kerja pembersihan laut dan pantai mereka.
Katanya lagi, ia merupakan situasi tidak adil kepada bahawa negara-negara di pesisir yang sering dibebani dengan tanggungjawab ini.
#Belt and Road
#BRF
#Jalur dan Laluan
#Mahathir Mohamad
#perdagangan di antara Timur dan Barat
#perdagangan perkapalan
#teknologi moden