Dr Mahathir sokong kerajaan bawa rakyat Palestin dirawat di Malaysia

Bernama
Ogos 24, 2024 21:10 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini. - Gambar fail/FB Dr Mahathir bin Mohamad
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Beliau berkata rakyat Palestin adalah saudara se-Islam dan wajar dibantu ketika mereka dalam kesusahan.
"Dia (rakyat Palestin) orang Islam, kita orang Islam adalah saudara. Jadi bila mereka menghadapi masalah, kita perlu tolong setakat yang kita mampu," katanya ketika ditemui pada program Bicara Merdeka - Masa Depan Islam dan Melayu di sini, hari ini anjuran Yayasan Permata Ummah.
Ditanya sama ada kerajaan perlu membawa lebih ramai lagi rakyat Palestin untuk dirawat di negara ini, Dr Mahathir berkata kerajaan boleh membantu, tetapi mengikut kemampuan.
"Kita pun tak mampu banyak (bawa lebih ramai). Kita bolehlah bawa yang teruk (cedera parah) ke sini yang boleh kita ubati," katanya.
Pada 16 Ogos lepas 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka, tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia, untuk menerima rawatan.
Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rakyat Palestin yang sedang dirawat di Malaysia hanya akan dihantar pulang ke negara mereka apabila keadaan bertambah baik atau sekurang-kurangnya gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak.
-- BERNAMA
#Mahathir Mohamad #sokong tindakan kerajaan #rakyat Palestin #rawat #Palestin
;