Dr Mahathir seru negara Muslim guna dinar emas, sistem barter
Harits Asyraf Hasnan, Firdaus Azil
Disember 21, 2019 11:34 MYT
Disember 21, 2019 11:34 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi cadangannya agar Dinar Emas, serta sistem barter digunakan dalam perdagangan sesama negara Muslim.
Dalam ucapan penutupnya sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, beliau berkata, ia bagi membantu mengukuhkan kadar mata wang serta meningkatkan kekuatan ekonomi di kalangan negara terlibat, tanpa terlalu bergantung kepada sistem mata wang barat.
“Perbincangan di KL Summit turut menyentuh mengenai subjek mata wang dan bagaimana kita (negara Muslim) berdagang di kalangan kita. Saya mencadangkan agar kita sekali lagi melihat kepada idea berdagang menggunakan dinar emas, serta sistem barter dalam perdagangan kita.
“Kita sedang melihat perkara ini dengan serius, dan saya harap kita dapat bersama-sama mencari mekanisme terbaik dalam memastikan ia terlaksana,” kata Pengerusi KL Summit 2019 itu lagi, di sini hari ini.
Berucap lanjut, Dr Mahathir berkata, persidangan selama tiga hari itu memberikan fokus khusus kepada topik seperti, termasuk ekonomi, sains dan teknologi, termasuk industri pertahanan.
“Tetapi aspek paling penting daripada fokus ini ialah keperluan untuk menghasilkan dan mencipta teknologi terkini.
“Selagi mana kita bergantung kepada teknologi yang dicipta oleh musuh Islam, selagi itu mereka boleh mengelak, menentukan dan mengawal usaha kita dalam menambahbaik teknologi serta sistem pertahanan kita,” jelasnya lagi.
Walaupun sidang kemuncak itu sudah sampai ke penghujungnya, Dr Mahathir berkata, jika negara peserta menguatkan resolusi mereka, ia akan menjadi satu titik permulaan kepada dunia Islam.
“Ini yang kita ingin lakukan. Kita hendak selamatkan diri sendiri serta ummah, dan kita akan terus bertahan dalam usaha ini.
"Kita berharap dari sudut ini dan seterusnya, rakan-rakan negara Muslim lain boleh melihat sendiri tujuan kita adalah semata-mata demi menyelamatkan ummah dalam merangka strategi dan teknologi canggih.
“Penguasaan ilmu ini adalah satu-satunya harapan kita untuk memastikan ummah tidak terus dibuli dan dianiaya oleh musuh kita,” katanya lagi.
#dinar emas
#ekonomi
#Islam
#KL Summit
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#mata wang
#Muslim
#negara Islam
#negara Muslim
#penguasaan ilmu
#perdagangan
#pertahanan
#sistem barter
#teknologi
#Umat Islam