Dr Mahathir semakin pulih, pindah ke wad biasa - Marina

Astro Awani
Januari 26, 2022 18:37 MYT
Menurut Marina, Dr Mahathir juga telah dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari (CCU) ke wad biasa, Institut Jantung Negara (IJN). - Foto fail / Twitter @netraKL
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor semakin pulih selepas penilaian dilakukan oleh doktor pakar.
Anak sulungnya, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, bapanya juga telah dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari (CCU) ke wad biasa di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
"Tun Dr Mahathir ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.
"Bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Marina juga, Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.
Pada Selasa, Marina memaklumkan Dr Mahathir telah mempunyai selera makan dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga.
#Mahathir Mohamad #rawatan di IJN #Institut Jantung Negara #Marina Mahathir
;