Dr Mahathir saksikan koleksi Dunia Islam Muzium British

Bernama
Oktober 1, 2018 10:22 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninjau secara eksklusif Koleksi Dunia Islamik di Galeri Al Bukhari British Muzium London, 30 Sept, 2018. --fotoBERNAMA
Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang menyaksikan prebiu eksklusif koleksi Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary di Muzium British pada Ahad.
Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary yang mengetengahkan artifak kesenian Islam, sedang dalam pembinaan dan akan dibuka kepada umum pada 18 Okt ini.
Galeri baharu di muzium ini memaparkan pelbagai koleksi kesenian Islam secara menyeluruh melalui seni dan budaya material.
Ia mempamerkan objek yang memberi gambaran mengenai pertukaran budaya melibatkan kawasan bermula dari Nigeria hingga ke Indonesia, dari abad ke-7 hingga sekarang.
"Ia mengetengahkan jalinan hubungan global merentasi wilayah dari Afrika Barat ke Asia Tenggara dan mencerminkan kaitan antara zaman purba, pertengahan dan moden," demikian menurut kenyataan Muzium British.
Galeri ini disokong oleh Yayasan Albukhary dan Muzium Kesenian Islam yang berpangkalan di Malaysia.
Turut hadir pada prebiu eksklusif itu ialah hartawan Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang terkenal sebagai seorang dermawan.
Pengarah Muzium British Hartwig Fisher dalam kenyataan berkata Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary membenarkan muzium itu mempamerkan koleksi berkelas dunia untuk menghebahkan tentang Islam yang lebih universal dalam konteks global.
Sementara itu Syed Mokhtar Albukhary yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary berterima kasih kepada Muzium British atas kejayaan kerjasama itu yang bertujuan menampilkan konvergens dan diverjens Islam.
"Dalam konteks globalisasi, saya berharap galeri baharu ini akan menarik pengunjung pelbagai budaya dan menyumbang kepada pemahaman sejarah, kesenian dan kebudayaan dunia Islam," katanya.
-- BERNAMA
#eksklusif #Galeri Dunia Islam #Indonesia #kesenian Islam #Mahathir Mohamad #Muzium British #Nigeria #pertukaran budaya #prebiu #Syed Mokhtar Albukhary #Yayasan Albukhary
;